Tuesday, July 04, 2006

Pengenalan

Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah (1),
Jalan Ismail Petra,
17500 Tanah Merah, Kelantan.
Tel.:09-9556167 Fax : 09-9553551 e-mail : smktm1@streamyx.com


Visi Dan Misi SMKTM(1)

VISI SMKTM(1)


KECEMERLANGAN DAN HASIL KERJA BERKUALITI MATLAMAT KAMI.

MISI SMKTM(1)


1) Guru mengajar, murid belajar dan terdidik.

2) Pemastian proses dan hasil kerja berkualiti.

3) Kejujuran dan dedikasi asas inspirasi.

4) Refleksi dan muhasabah pendorong inovasi.

5) Organisasi ini adalah amanah dan milik kami.


LENCANA SEKOLAH

Di dalam lencana ini, puncak kejayaan yang digambarkan oleh lambang obor yang di anggap suluh untuk seseorang mencapai kegemilangan. Kegemilangan adalah semangat yang sentiasa berkobar-kobar.

Lambang buku yang dilengkong oleh bulatan di dalam lencana ini memberi makna bahawa SMKTM(1) merupakan sebuah gedung ilmu dan maklumat.

Lingkaran padi yang merangkumi bulatan buku merupakan lambang latar belakang kedudukan sekolah di Kelantan yang hidup subur dan berpotensi untuk berkembang maju.

Dua warna asas mencorakkan warna lencana sekolah iaitu merah dan kuning. Merah melambangkan kegigihan untuk mencapai kejayaan manakala kuning melambangkan hasil perjuangan dan kecemerlangan sekolah boleh dicapai melalui kegigihan usaha.

Bendera sekolah ini berwarna merah dan kuning. Warna merah membawa erti semangat perjuangan yang gigih dan berani dalam menghadapi sebarang cabaran. Warna kuning membawa makna tersirat hasil perjuangan berkat ketaatan dan patuh kepada segala disiplin dan peraturan sekolah. Ketaatan dan kepatuhan pasti akan membuahkan kecemerlangan. Bendera sekolah akan dinaikkan sewaktu perhimpunan mingguan diadakan.



COGANKATA/MOTTO SEKOLAH

USAHA JAYA dijadikan cogankata sekolah. Cogankata ini dapat membangkitkan semangat juang di kalangan warga SMKTM(1). Ini untuk mencapai kejayaan dan kegemilangan dalam bidang-bidang kurikulum dan kokurikulum sekolah. Dengan usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh pasti kejayaan akan dicapai.

Cogankata ini terkandung di dalam lencana sekolah, lagu sekolah dan lukisan mural sekolah.



Sejarah SMKTM(1)

SEJARAH AWAL

Bermula pada bulan Januari 1973 sehingga tahun 1978 sekolah ini menumpang di Sek. Men. Dato Mahmud Paduka Raja, Sek. Ren. Keb, Sri Suria (1) dan Sek. Keb. Tanah Merah. Pembelajaran dijalankan pada waktu petang sahaja. Pengetuanya yang pertama ialah Encik Makhzan bin Yusof(1973 hingga 1974)

Dalam bulan Januari 1979, sekolah ini berpindah ke bangunan sendiri yang terletak di Jalan Ismail Petra, Tanah Merah iaitu kira-kira 3 km dari bandar Tanah Merah. Walaupun bangunan ini belum siap sepenuhnya dan peralatannya masih belum lengkap, tetapi atas inisiatif pengetuanya pada masa itu, Allahyarham Encik Abdullah b. Ibrahim, perpindahan tetap dilakukan.

Sekolah ini dirasmikan pada 27hb. April 1980 oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan kelantan. Pengetua pada waktu itu ialah Encik Aziz bin Said. Mulai tahun 1993, sekolah ini digredkan ke dalam gred A.

Bermula dengan tiga blok bangunan tiga tingkat, sebuah kantin dan sebuah bengkel, bangunan sekolah ini terus ditambah dari masa ke semasa mengikut pertambahan murid yang disalurkan ke sekolah ini dari sekolah-sekolah salurannya. Bermula tahun 1992, seluruh kawasan sekolah telah diserikan dengan pembinaan taman-taman dan penanaman pokok-pokok bunga, terutama di sepanjang bangunan-bangunan sekolah yang telah diusahakan oleh seluruh warga Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah (1). Kecantikan sekolah telah menambah minat murid untuk berada lebih lama di sekolah dan suasana aktiviti pengajaran dan pembelajaran adalah selesa.

ASAL-USUL NAMA SEKOLAH

Nama asal sekolah ini ialah Sekolah Menengah Tanah Merah. Nama ini dipilih bersempena nama tempat di mana sekolah ini didirikan iaitu di daerah Tanah Merah. salah seorang pengasas yang mula-mula mengasaskan sekolah ini ialah Allahyarham Hj. Ab. Rahman bin Said iaitu bekad Penolong Kanan sekolah ini (1975 hingga 1982)

Pada tahun 1994, nama Sekolah Menengah Tanah Merah ditukarkan kepada Sekolah Menengah Tanah Merah (1) selepas penubuhan sebuah lagi sekolah bersebelahan dengannya iaitu Sekolah Menengah Tanah Merah (2). Pada tahun 1998, nama sekolah ini sekali lagi ditukarkan menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah (1). Pertukaran nama tersebut adalah di atas arahan Kementerian Pendidikan Malaysia